Sabtu, 4 Januari 2014

Krisis Thailand ragut 5,352 nyawa sejak 2004

Oleh:
Tarikh: January 4, 2014
PATTANI – SELATAN THAILAND. Pergolakan di wilayah selatan
Thailand telah mengorbankan 5,352 orang sejak 2004, menurut
Pusat Keselamatan Dalam Negeri (ISOC).
Jurucakap ISOC Bahagian Keempat, Kol Pramoth Prom-In hari ini
berkata dalam tempoh 2004-2013, sebanyak 9,965 orang
mengalami kecederaan dalam 8,540 kejadian keganasan yang
dilakukan oleh puak pemisah.
“Dalam tempoh itu, 499 anggota tentera maut dan 2,429 lagi cedera,
sementara 312 anggota polis mati dan 1,159 cedera, manakala 181
sukarelawan terkorban dan 357 cedera,” katanya.
Turut menjadi mangsa ialah golongan pendidik di mana 187 guru
terbunuh dan 191 cedera manakala 399 anggota puak pemisah mati
dan 92 cedera.
Mangsa lain keganasan terdiri daripada pegawai pentadbiran,
pemimpin agama dan orang awam, katanya.
Pramoth berkata sejumlah 615 insiden keganasan berlaku pada
tahun lepas berbanding 542 insiden pada 2012.
Beliau berkata pada 2007 sebanyak 1,669 insiden keganasan
direkodkan iaitu yang tertinggi.
“Jelas sekali trend dalam tempoh itu terdapat pengurangan insiden
iaitu pada 2004 (601), 2005 (1,006), 2006 (1,249), 2007 (1,669),
2008 (769), 2009 (757), 2010 (625), 2011 (680) dan 2012 (542),’
katanya.
Dalam insiden terbaru hari ini, seorang anggota polis maut dan
seorang sukarelawan cedera terkena tembakan dalam kejadian di
sebuah kedai kopi di Mukim Bandar, Muang Pattani, awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muang Pattani, Kol Tuandir Juthanon,
empat lelaki menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arah
kedua-dua mangsa yang sedang menikmati minuman teh. –

__Bernama__

Tiada ulasan:

Catat Ulasan